fbpx

BRICS bantu kukuhkan ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PADA minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan dalam satu temu bual dengan media China, Guancha dari Shanghai bahawa Malaysia bersedia menyertai kumpulan BRICS yang ditubuhkan pada 2006.

Nama BRICS diperoleh berdasarkan kepada negara-negara yang awal menanggotainnya iaitu Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan.

Ia kemudian diperluaskan apabila Iran, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan Habsyah menjadi anggota terbaharu, manakala Arab Saudi yang belum menganggotainya menghantar Menteri Luar, Putera Faisal Farhan menghadiri mesyuarat di Russia pada awal bulan ini.

Bagaimanapun, kesediaan menyertai BRICS itu dibuat ketika nilai ringgit jatuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), namun pakar-pakar ekonomi menganggap jika Malaysia menanggotainya, ia boleh mengukuhkan mata wang negara.

Kumpulan itu tidak menggunakan dolar AS dalam perdagangan sebaliknya mengutamakan mata wang negara-negara anggota.

Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, beliau menyokong penyertaan negara kerana ia mengikut perkembangan semasa.

Menurutnya, negara ini bakal mendapat faedah yang lebih baik dalam perdagangan dengan negara-negara BRICS kerana Malaysia akan menggunakan ringgit.

“Kita dapati selama ini dolar AS telah menjadi rizab yang paling penting (dalam Malaysia) dan ini akan berubah (jika menyertai BRICS) tetapi, jika dolar AS runtuh, rizab dalam mata wang itu tidak bernilai lagi.

“Kita boleh kurangkan rizab tunai kita daripada dolar AS,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Menjelang 14 Jun lalu, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) naik kepada AS$114.1 bilion (RM536.92 bilion) berbanding AS$113.6 bilion (RM534.55 bilion) yang dicatatkan pada 31 Mei 2024.

Beliau bersetuju dengan Anwar yang menyatakan bahawa walaupun banyak pelaburan dibawa masuk ke dalam negara tetapi nilai mata wang dalam negara masih lagi tidak stabil berbanding dolar AS.

Pada tahun lalu, Malaysia berjaya meraih pelaburan bernilai RM329.5 bilion iaitu yang tertinggi sejak penubuhan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia pada 1967.

Seorang lagi penganalisis ekonomi dari Pusat Antarabangsa Untuk Pendidikan Kewangan Islam, Profesor Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, BRICS merupakan satu kesatuan yang dapat mengimbangi kuasa Eropah dan juga Amerika.

“Bagi saya, ini adalah sesuatu yang amat berpotensi untuk negara kita apatah lagi Malaysia ini adalah sebuah negara yang agak terbuka perdagangannya.

“Kita memerlukan pasaran yang baharu. Kita juga memerlukan penawaran barangan. Sebagai contoh, Brazil adalah pengeksport makanan halal yang terbesar di dunia.

“Jadi, saya melihat Malaysia yang akan menyertai BRICS ini sebagai satu kesatuan yang boleh melonjakkan lagi perdagangan baik dari segi hala tuju eksport Malaysia mahupun sebagai negara sumber untuk barangan import.

Menurutnya, ketika ini dolar AS menjadi ‘kuat’ kerana banyak negara di dunia yang menggunakan mata wang itu.

“Jadi, sebagai contoh, (jika menyertai BRICS), ketika mengeksport ke Brazil, kita menggunakan mata wang kita. (Jika) kita mengimport dari Brazil, kita menggunakan mata wangnya. Jadi, kedua-dua negara saling mendapat manfaat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI