JAKARTA – Seorang pengantin lelaki di Padang, wilayah Sumatera Barat menjadi perhatian pengguna media sosial selepas menangis teresak-esak sejurus selesai melafazkan anak nikah, lapor akhbar Tribunnews semalam.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @dillawidyawati, lelaki itu dilihat melafazkan akad nikah sambil memegang erat tangan bapa kepada pengantin perempuan.
Selepas selesai, dia menangis kerana terharu dengan perjuangan dan hasratnya untuk berkahwin dengan wanita yang dicintainya.
Difahamkan, pasangan pengantin baharu itu telah menjalinkan hubungan cinta selama 15 tahun.
“Perjuangan 15 tahun akhirnya tercapai dengan lafaz akad nikah,” tulis keterangan video itu.
Rakaman itu menjadi tular dan meraih sebanyak 900,000 tontonan serta ribuan komen daripada netizen.
“Isterinya sangat beruntung kerana sangat dicintai oleh suaminya,” kata seorang pengguna laman sosial.
“Sedih betul, sangat hebat kerana mampu bertahan sehingga detik yang terindah,” kata pengguna lain. – AGENSI