LOS ANGELES, California – Bintang pop Amerika Syarikat (AS), Ariana Grande mengumumkan pertunangannya dengan ejen harta tanah mewah Los Angeles, Dalton Gomez.
Penyanyi Stuck With U berumur 27 tahun itu mengesahkan berita tersebut dalam catatan Instagram Ahad lalu. Ariana turut menunjukkan gambar tunang dan cincin pertunangan berliannya bersama kapsyen “(bersama) selamanya dan lebih lagi”.
“Sungguh gembira untuk kalian!” tulis Kim Kardashian West yang merupakan antara selebriti AS yang mengucapkan tahniah kepada mereka.
Pasangan itu menari bersama secara terbuka awal tahun ini dalam muzik video gaya santai untuk lagu Stuck With U.
Lagu bagi tujuan amal itu turut menampilkan Justin Bieber dan dirakam di California. Lagu itu diterbitkan pada Mei lepas dan memaparkan lirik merujuk kepada pasangan kekasih yang tinggal bersama semasa pandemik koronavirus.
Grande yang mempunyai hampir 300 juta pengikut di laman Instagram dan Twitter bertunang seketika dengan pelawak program bual bicara Saturday Night Live, Pete Davidson pada tahun 2018.
Menurut laman web syarikat hartanahnya, Gomez yang lahir dan dibesarkan di California Selatan telah bekerja dalam industri hartanah selama lima tahun. – AFP