fbpx

Penjual petai pasrah kaki sudah tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Nazar menunggang motosikal roda tiga untuk menjual petai di sekeliling Kampung Simpang Tiga Pasir, Merbok, Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang peniaga petai tetap gigih mencari rezeki walaupun dalam keadaan dirinya yang berkerusi roda selepas kaki kirinya dipotong sehingga paras lutut akibat kencing manis pada Mac lalu.

Ahmad Nazar Abu Hasan, 58, yang berasal dari Kampung Simpang Tiga Pasir, Merbok, dekat sini berkata, meskipun keadaan fizikalnya sudah tidak sempurna seperti dahulu, namun tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada dua anak berusia 14 dan 18 tahun harus dipikul sebaik mungkin.

Menurutnya, sebelum ini dia menyara keluarga dengan pendapatan sebagai pesawah selain turut berniaga makanan sejuk beku bersama isterinya.

Katanya, kisah duka dalam hidupnya bermula selepas dia mengalami kemalangan motosikal kira-kira tiga bulan lalu.

“Saya hanya mengalami luka kecil di kaki kiri, namun luka itu tidak sembuh dan semakin me­rebak dan ketika itu saya tidak tahu ada penyakit kencing manis.

“Apabila luka di kaki saya sudah teruk, baru saya pergi ke hospital dan ketika itu kaki saya sudah tidak boleh diselamatkan lagi,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Ahmad berkata, sejak kehilangan kakinya itu, pergerakannya menjadi terbatas dan dia kini terpaksa mencari rezeki dengan berniaga petai menggunakan motosikal beroda tiga di sekitar Merbok dan Tanjung Dawai.

“Motosikal roda tiga ini adalah hasil sumbangan orang ramai melalui kutipan Sumbangan Jariah Qaseh oleh sukarelawan Natipah Abu. Walau bagaimanapun perniagaan saya ini bergantung kepada bekalan petai juga, jika tiada petai maka saya tidak akan berniaga,” ujarnya.

Tambahnya, dia kini semakin buntu apabila hasil jualannya merosot sehingga tidak mendapat pulangan modal.

“Setakat ini, ini sahaja sumber pendapatan saya untuk menyara keluarga, permintaan petai kini agak kurang sehingga ada hari saya langsung tak dapat pulangan modal,” jelasnya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0219129000098368 milik Ahmad Nazar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI