KUALA LUMPUR – Seorang kerani wanita sebuah syarikat firma guaman didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyamar sebagai peguam dan memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun tertuduh K. Maragatham, 63, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa dengan sengaja memberi keterangan palsu berkenaan satu dokumen Ambank yang ditandakan sebagai ‘IDD4(10)’ dan keterangan itu diketahui adalah palsu dalam prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar di dalam Mahkamah Tinggi Sivil, di sini pada 28 Oktober 2022.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Pertuduhan kedua tertuduh didakwa secara sengaja berpura-pura menggunakan gelaran peguam bagi sebuah firma yang membayangkan tertuduh berkelayakan sempurna untuk bertindak sebagai seorang peguamcara di sebuah restoran di Plaza Damansara, di sini pada 3 Februari 2018.
Bagi pertuduhan itu pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 37(1)(b) Akta Profesion Undang-Undang 1976 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 37(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,500 atau penjara tidak melebihi tempoh enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee menawarkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Namun peguam Thayalan Moorthy yang mewakili tertuduh merayu supaya jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai kerani di sebuah firma guaman.
Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Nurul Izzah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan kes. – KOSMO! ONLINE