KAJANG – Polis sedang mengenal pasti suspek yang terlibat kes samun kedai emas sehingga menyebabkan kerugian bernilai RM3.2 juta dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kajang di sini, 17 Jun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya yakin kesemua suspek yang terlibat akan ditangkap dalam masa terdekat.
Jelasnya, siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya bagi menyelesaikan kes tersebut.
“Kita percaya boleh mengenal pasti mereka yang terlibat pada masa akan datang.
“Dua kejadian samun kedai emas sebelum ini di Kajang dan Klang Selatan itu juga adalah dari kumpulan yang berbeza,” katanya pada sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kajang di Ibu Pejabat Polis Kajang (IPD), di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis sudah merakam keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan kes samun barangan kemas dianggarkan bernilai RM3.2 juta.
Pada 17 Jun lalu, empat lelaki bertopeng dan bersenjata dipercayai merompak sebuah kedai emas dalam bangunan di Kajang, di sini.
Dalam kejadian pukul 3.15 petang itu, empat suspek dilihat memakai baju seakan pengawal keselamatan, bertopeng dan bersarung tangan gelap.
Mereka bertindak masuk ke dalam premis terbabit sebelum memecahkan cermin kaca simpanan emas menggunakan tukul besi dan mengambil emas itu.
Semasa kejadian, suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan satu laras senapang ke dalam premis berkenaan. – KOSMO! ONLINE.