KUALA LUMPUR – Syarikat pembuat komponen komposit pesawat, Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM), telah menerima anugerah Accredited Member bagi kategori struktur aero daripada syarikat pengeluar pesawat terbesar dunia, Airbus SE.
Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof berkata, anugerah itu telah diumumkan bersempena Hari SQIP (Supply Chain and Quality Improvement Program) Airbus untuk tahun 2019 yang telah dijalankan di ibu pejabat Airbus di Toulouse, Perancis baru-baru ini.
Menurutnya, anugerah Accredited Member merupakan pencapaian tertinggi yang diberikan oleh Airbus kepada syarikat-syarikat pembekal mereka pada Hari SQIP tahunan.
“Ia adalah sebahagian daripada usaha Airbus untuk menggalakkan kecemerlangan dalam kualiti produk dan kecekapan penghasilan dalam kalangan para pembekal,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
CTRM merupakan syarikat pembekal Airbus Tier-2 yang pertama di dunia yang menerima pengiktirafan anugerah Accredited Member tersebut.
Ini adalah tahun kelima berturut-turut CTRM menerima pengiktirafan daripada Airbus.
Setiap tahun, Airbus akan menjalankan kajian penilaian prestasi yang menyeluruh ke atas semua syarikat pembekal mereka di seluruh dunia bersempena Hari SQIP tahunan mereka.
Shamsuddin menerangkan, kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen dan kerjasama berpasukan warga kerja CTRM.
“Pengiktirafan ini adalah hasil daripada pelaksanaan pelbagai projek penambahbaikan secara berterusan dalam tempoh 24 bulan yang lalu.
“Kami berharap ia akan mempertingkatkan lagi reputasi CTRM dan seterusnya membuka jalan bagi kami mendapatkan lebih banyak peluang perniagaan di dalam industri ini,” katanya.