PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan mempersembahkan warkah persilaan ke Istiadat Pertabalan Baginda kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Menerusi akaun Facebook rasmi, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Hangar Penerbangan Diraja Brunei, hari ini disambut Pengiran Muda Mahkota Brunei, Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Majlis menghadap dan persembahan warkah persilaan berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan diikuti majlis santapan tengah hari.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.
Selain itu, turut hadir ialah Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri, Datuk Mohd Aini Atan dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei, Nur Ezira Mahadi.
Amalan tradisi warkah persilaan di negara ini dimulakan sejak istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang pertama negara iaitu Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad yang masih dikekalkan hingga sekarang.
Sebagaimana yang diamalkan pada zaman dahulu, warkah terbabit juga ditulis tangan dengan tulisan khat Jawi yang cantik dan bahasanya adalah bahasa Melayu.
Warkah terbabit turut menggunakan bahasa tradisi di antara raja-raja yang menitikberatkan penghormatan kepada baginda sultan yang lebih tua dan dalam masa yang sama menggunakan panggilan hormat untuk baginda sultan yang lebih muda. – KOSMO! ONLINE