PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak terkilan sekiranya gagal mendapat tiket wildcard daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Paris dalam acara 100 meter (m) bulan depan.
Tegas Azeem, perjalanan kariernya masih lagi panjang kerana baru mencecah usia 20 tahun dan tidak kisah di label jaguh kampung berikutan kegagalannya mencatat kepantasan 10 saat untuk layak ke temasya empat tahun sekali itu
“Jika anda tanya saya, saya mahu pulang berbakti di negeri kelahiran, Perak. Kerajaan Negeri dan Majlis Sukan Negeri Perak banyak bantu saya sejak saya kecil lagi.
“Saya adalah orang Perak, jika orang mahu panggil saya sebagai jaguh kampung saya terima sebagai tanda positif. Bagi saya, saya adalah jaguh kampung dari Teluk Intan yang mempunyai impian besar. Mana tahu saya mampu lari bagus pada Sukma Sarawak kali ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Ujarnya, jika KOM tidak menyenaraikan namanya ke Olimpik Paris, pelari dari Teluk Intan itu mahu mencari kemenangan ‘kecil’ dengan pulang berbakti mewakili Perak pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos nanti.
Azeem yang akan beraksi di Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia bulan ini mengakui, mahu mencari kemenangan bagi meningkat motivasi sebelum membantu Perak di Sukma Sarawak dengan dua emas dalam acara 100m dan 200m. – KOSMO! ONLINE