PETALING JAYA – Media sosial hari ini dipenuhi dengan rekaan menarik pakaian rasmi kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 oleh netizen menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menerusi tinjauan Kosmo! di laman Facebook Prompters Malaya, ramai yang tampil dengan rekaan masing-masing dan berharap agar ia mendapat perhatian pihak terlibat untuk diketengahkan.
“Dipersembahkan oleh Cheapreme Store x Prompters Malaya. Ayuh buktikan rakyat Malaysia kreatif dan inovatif dengan mencipta pakaian rasmi kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan teknologi AI,” kongsi Afiq Yahaya.
“Rekaan baju pasukan Malaysia sekarang tengah panas katanya macam… Google lah sendiri. Apa kata kita kasi sentuhan sikit,” kongsi Faizal Ahmad.
Perkongsian mereka itu mendapat perhatian dan sokongan orang ramai yang menyifatkan rekaannya jauh lebih menarik dan gah.
“Ni lebih baik. Tak la nampak mcm beli kat Pengkalan Kubor ja,” kata Fares Isa.
“Patut reka macam ni, baru bersemangat tengok. ‘Power’ bang,” puji Sidi Omar.
“Cantik sangat. Tolong la hantar rekaan ni kat sana. Dia orang kering idea dah tu. Baju macam hari sukan sekolah tadika,” ujar Izzat Azila.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024 dikecam hebat orang ramai ekoran rekaan yang disifatkan agak ketinggalan.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, rata-rata netizen bukan sahaja menzahirkan rasa tidak puas hati, malah ada yang mengatakan ia kelihatan seperti ‘baju budak sekolah’. – KOSMO! ONLINE