LIVERPOOL – Penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah dilaporkan bersedia untuk mempertimbangkan masa depannya di Anfield selepas dikatakan kecewa dengan beberapa situasi semasa di kelab itu.
Bekas rakan sepasukan skuad antarabangsa Mesir, Mohamed Aboutrika mendedahkan bahawa Salah sudah tidak gembira berada di Liverpool dan pasukan itu juga sedang membuat pertimbangan untuk melepaskannya.
Menurut Aboutrika, Salah sangat kecewa apabila tidak diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan ketika Liverpool berdepan FC Midtjylland pada aksi Liga Juara-Juara sebelum ini.
“Saya menghubungi Salah mengenai situasinya di Liverpool dan dia mengakui sangat sedih tetapi ia tidak sampai ke tahap mengganggu persembahannya.
“Saya tahu Salah tidak gembira di Liverpool, dia memberitahu saya beberapa sebab tetapi saya tidak mahu mendedahkan kerana ia adalah rahsia kami berdua.
“Cuma, salah satu sebab Salah begitu marah apabila dia tidak diberikan tugas sebagai ketua pasukan ketika mereka menentang Midtjylland,” katanya.
Salah sebelum ini mengakui sangat kecewa dengan keputusan dibuat oleh pengurus mereka, Jurgen Klopp yang memberikan tugas itu kepada Trent Alexander-Arnold yang berusia 22 tahun berbanding dirinya ketika aksi tersebut.
Dalam temuramah yang sama, Salah mengulangi keinginannya untuk menyertai dua gergasi Sepanyol iaitu sama ada Real Madrid atau Barcelona.
“Jika Salah adalah pemain Real atau Barcelona dia mungkin akan memenangi Ballon d’Or. Saya fikir Liverpool akan menjual nya bagi tujuan kewangan,” jelas Aboutrika. – AGENSI