JOHOR BAHRU – Kejadian tembak-menembak yang mengorbankan nyawa dua suspek di Taman Abad, di sini pada 14 Jun lalu membongkar kegiatan penyeludupan senjata api dan pengedaran dadah.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, salah seorang suspek yang mati ditembak dalam kejadian pukul 4.30 petang itu merupakan ketua sindiket tersebut.
Katanya, selepas kejadian berbalas tembakan itu berakhir, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah telah membuat tiga serbuan di inap desa serta pangsapuri di kawasan Wadihana, Kempas Utama dan Taman Abad.
“Hasil serbuan di tiga lokasi berkenaan katanya, polis menahan tujuh warga tempatan iaitu empat lelaki dan tiga wanita serta satu wanita warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, polis menemukan sekeping kad kuasa polis palsu yang tertera nama salah seorang suspek yang ditembak mati. Mereka menggunakan kad kuasa polis itu untuk aktiviti penyeludupan senjata api dan penyeludupan dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas tiga pucuk pistol, empat pistol tiruan, 141 butir peluru hidup, sebilah pisau, sepasang gari dan pelbagai peralatan polis.
Polis turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu syabu seberat 99.76 gram (g), pil eramin 5 50.50g, ganja 1,126g, serbuk ekstasi 50.49g, heroin 49.66g, pil yaba 198.61g dan pil ekstasi 249.88g dengan nilai keseluruhan berjumlah RM96,082.
Sebelum ini, akhbar melaporkan dua penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis di Jalan Abad, Taman Abad, Pada 14 Jun lalu.
Tambahnya, ketua sindiket yang ditembak mati berusia 42 tahun itu mempunyai 38 rekod jenayah dan kesemua suspek direman bermula 15 sehingga 21 Jun dan disambung reman narkotik bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE