GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang telah memilih jajaran terbaik yang dicadangkan oleh Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) untuk projek Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah menghantar surat kepada Kementerian Pengangkutan dua minggu lalu untuk menyatakan persetujuan terhadap jajaran yang dicadangkan.
“Kami telah memilih jajaran yang hampir sama dengan jajaran asal, jajaran yang dipilih hanya berbeza sedikit sahaja,” katanya.
Kementerian Pengangkutan secara rasmi mengambil alih projek LRT Pulau Pinang selepas Kabinet meluluskan pembangunan projek pada 22 Mac lalu.
Menurut Kon Yeow, jajaran yang dicadangkan oleh MRT Corp ini adalah jajaran terbaik untuk kesinambungan jajaran lain di masa depan.
“Jajaran yang dipilih oleh kerajaan negeri bermula dari Pulau Silicon dan menghubungkan Penang Sentral ke kawasan Macallum di George Town,” katanya. – KOSMO!ONLINE