BANGKOK – Seorang warga asing di Thailand mengundang kecaman netizen selepas berkongsi klip video dirinya berbaring di atas buaian (hammock) yang digantung pada sebuah papan iklan gergasi di Bangkok.
Laman berita Thaiger melaporkan, akaun laman sosial pengguna bernama Red Skull berkongsi video tersebut bersama keterangan: “Bukankah dia lelaki sama dalam video tular sebelum ini? Dia berlari secara melulu di stesen (kereta api BTS) dan melompat ke atas seorang lelaki Thai. Dia masih berada di Thailand?”
Dalam video asal yang dimuat naik, lelaki tersebut berkongsi rakaman dia bersantai di dalam buaian yang digantung pada sebuah papan iklan besar di tepi jalan.
Video itu berlatarbelakangkan Persimpangan Asoke di Bangkok.
Ramai netizen Thailand mengesahkan warga asing itu adalah individu sama yang terlibat dalam kejadian serupa pada Mac lalu.
Dalam kes itu, dia berlari secara melulu di Stesen BTS Asoke berhampiran Soi Sukhumvit 14 di Bangkok. Lelaki itu melompat dari stesen tersebut ke bangunan berhampiran sebelum melompat turun ke laluan pejalan kaki.
Malangnya, lelaki warga asing tersebut mendarat di atas kepala seorang warga emas yang berjalan di laluan tersebut, menyebabkan mangsa cedera.
Tiada laporan polis diterima daripada mangsa dalam insiden itu, menyebabkan warga asing berkenaan mengulangi perbuatan melulunya.
Polis dilaporkan masih belum mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan. – AGENSI