fbpx

Pemuda terkandas 2 jam bersama jenazah bapa mentua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar siaran langsung dan gambar yang dimuat naik Mohd. Ariff di akaun Facebooknya awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Niat murni seorang pemuda untuk membawa bapa mentuanya tinggal di kampung tidak kesampaian apabila warga emas itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Bongawan, Papar, pagi semalam.

Perkara itu dikongsikan menerusi video siaran langsung dan beberapa hantaran di Facebook Mohd. Ariff Ahmad.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila dia dan Allahyarham bapa mentuanya terkandas di tepi jalan berdekatan simpang Kota Belud kerana van dipandunya rosak kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Tambah pula, tiada kenderaan yang ingin berhenti walaupun Mohd. Ariff telah cuba menahan dan melambai-lambaikan tangannya beberapa kali.

“Aku cuba lambaikan tangan dalam keadaan sedih dan menangis untuk meminta simpati kenderaan yang lalu-lalang tetapi tiada yang berhenti malah semua jalan dan melihat.

“Tapi aku faham mungkin mereka takut. Siapa pun tidak mahu berhenti takut orang jahat ke apa. Barulah aku buat live (siaran langsung) memohon bantuan untuk carikan van jenazah untuk bapa mentuaku.

“Alhamdulillah, selepas tunggu dua jam, ada sahabat baik yang datang atur uruskan jenazah. Andai kata dia tak datang, mungkin jenazah akan sampai ke Bongawan pukul 8 malam,” tulisnya.

Di dalam siaran langsungnya semalam, Mohd. Ariff kelihatan sayu sambil dilihat menangis kerana buntu tidak tahu mahu meminta bantuan dengan siapa dalam keadaan cuaca yang sedang hujan.

Tambahnya, dia tidak sangka bapa mentuanya akan pergi buat selama-lamanya kerana warga emas itu dilihat seakan-akan sedang nyenyak tidur di bahagian penumpang di sebelahnya.

“Al-Fatihah untuk bapa mentuaku. Niat mahu bawa tinggal di kampung, rupanya meninggalkan kami semua.

“Masa terkandas semalam memang kami berdua sahaja membuatkan air mata ini mengalir kerana buntu tak tahu nak minta bantuan siapa.

“Ini kali pertama diri ini tersadai lama macam ni di tepi jalan. Alhamdulillah jenazah telah selamat diuruskan dan dikebumikan di Bongawan sekitar pukul 11 malam tadi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Ariff turut mendakwa pihak Hospital Tuaran telah sampai di tempat kejadian dan mengesahkan kematian bapa mentuanya.

Namun, dakwanya, jenazah tidak dibawa oleh pasukan perubatan ke hospital terlebih dahulu malah meminta dirinya mengaturkan sendiri van jenazah.

“Setelah itu, saya menghubungi kawan saya untuk carikan van jenazah yang berhampiran dengan lokasi kejadian.

“Setelah dua jam menunggu barulah van jenazah dari Kampung Ketiau Putatan datang untuk bawa jenazah pulang ke Bongawan untuk diuruskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI