fbpx

Anugerah itu doa – Siti Nordiana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NORDIANA

TAHUN 2020 mungkin dianggap suram dan malang bagi kebanyakan masyarakat dunia disebabkan pandemik Covid-19, namun situasi berbeza dinikmati beberapa selebriti tanah air popular tanah air.

Sungguh, buat Siti Nordiana dan Haqiem Rusli, 2020 boleh diibaratkan sebagai tahun rezeki yang memekarkan lagi nama mereka.
Ahad lalu, kedua-dua penyanyi itu menggondol trofi Artis Top Top MeleTOP Era 2020 bagi kategori lelaki dan wanita pada Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan Siti Nordiana dan Haqiem membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 setiap seorang sumbangan Astro.

SITI NORDIANA, Khai Bahar dan Haqiem Rusli mencatat kenangan manis dalam, AME2020.

Masih relevan

Siti Nordiana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, 36, pula berjaya mengungguli tiga kategori lain iaitu Top Top Grup/Duo MeleTOP, Grup/Duo MeleTOP dan Artis Versatil MeleTOP dengan hadiah wang tunai RM5,000 bagi setiap kategori.

Kejayaan tersebut membuktikan pelantun lagu Angkara itu masih ampuh di mata peminat sehingga berjaya mengaut empat trofi sekali gus.

“Saya tidak pernah menyangka akan memenangi empat kategori malam ini (Ahad) sebab niat saya datang hanya untuk memeriahkan majlis tetapi rezeki lain pula yang tiba.

“Empat trofi ini ibarat doa, kepercayaan dan harapan peminat kepada saya untuk terus memacu menghasilkan lebih banyak hasil seni yang bagus. Mudah kata, sebagai penanda aras kepada sesuatu perubahan kelak,” katanya sambil memeluk gembira semua trofi kemenangannya.

Mengulas tentang isu tidak relevan untuk menerima semua anugerah tersebut, bekas juara Gegar Vaganza musim kedua itu memberitahu dia tidak mahu menghiraukan tohmahan pihak lain kerana undian dilakukan oleh peminatnya sendiri.

“Saya sedar ada dakwaan kononnya saya tidak layak, kurang versatil tetapi semua ini kuasa peminat. Mereka memang berusaha keras untuk meletakkan saya sehingga ke tahap ini.
“Untuk isu versatil, ramai sebenarnya yang lebih layak memegang trofi ini tetapi ini kepercayaan yang peminat berikan. Saya akan terus berusaha untuk pastikan diri sentiasa relevan. Bukan mudah tetapi perlu rajin dan usaha,” tuturnya.

Bagi Haqiem pula, satu demi satu rezeki diterima anak muda berusia 22 itu pada tahun ini.
Menghadiahkan kereta kepada ibunya, membuka sebuah restoran, bergelar bintang paling popular dan terbaharu, artis lelaki Top Top MeleTOP semua itu hasil kegigihan sendiri dan sokongan semua

Boleh dikatakan juga 2020 adalah tahun Haqiem Rusli.

“Syukur kepada Tuhan dengan rezeki yang tidak pernah berhenti ini.

“Memang terkejut tetapi inilah yang dikatakan kuasa peminat. Terima kasih kepada kelab peminat, QiemilioFC yang tidak pernah berhenti menabur sokongan kepada saya. Alhamdulillah,” katanya yang turut membawa pulang trofi Penyanyi MeleTOP AME2020.

SITI NORDIANA masih berbisa apabila mampu meraih empat trofi utama AME2020.

Gimik, kejutan berganda

Bukan namanya majlis anugerah hiburan jika tanpa pengisian gimik. Itulah yang berlaku dalam AME2020.
Cuma bezanya tahun ini, bukan satu sebaliknya bertubi-tubi kejutan dan gimik disogokkan buat penonton sepanjang dua jam siaran disiarkan secara langsung.

Paling mengejutkan pastinya lamaran Kamal Adli kepada kekasih hatinya, Uqasha Senrose di pentas AME2020 yang turut disaksikan jutaan penonton.

Bagaikan sudah terang lagikan bersuluh, segala status dan spekulasi percintaan mereka selama ini terjawab sudah.

Dalam momen indah tersebut, Kamal secara tiba-tiba melutut dan mengeluarkan sebentuk cincin berlian sebelum melamar Uqasha yang dilihat terkesima.

GIMIK tetapi realiti. Kamal mengejutkan khalayak apabila membuat lamaran mahu menyunting heroin serasinya, Uqasha sebagai isteri.

“Uqasha Senrose, sudikah awak menjadi isteri saya?,” soal Kamal.

Dalam senyum menyimpul bahagia, Uqasha hanya mampu menjawab: Ya.

Meskipun bukan pertama pertama kali ada merpati dua sejoli berdrama ‘lamaran’ di pentas program siaran langsung, aksi Kamal dan Uqasha antara klimak AME2020 yang mengujakan ramai.

Bertemakan Epik dan Legend, AME2020 tidak lupa memberikan penghargaan khas buat tokoh hebat negara, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew.

EBIT LEW buat pertama kali menjadi penerima trofi dalam acara hiburan negara apabila dipilih sebagai penjulang trofi Anugerah Wira MeleTOP AME2020.

Dua individu kesayangan rakyat Malaysia itu dijulang atas usaha murni mereka yang tidak pernah berhenti menyantuni dalam usaha mengekang penularan mahupun terkesan dengan Covid-19.
Ebit yang hadir berjubah warna coklat pada malam tersebut amat berterima kasih atas penghargaan AME2020 dan berazam untuk terus memerah keringat membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.

“Saya harap semua usaha yang ditabur dapat meringankan beban orang lain. Mungkin tidak banyak tetapi saya sudah lakukan sedaya upaya.

“Semoga saya akan kuat dan sihat untuk terus berkongsi kebaikan dan kegembiraan dengan orang ramai,” katanya.

Tidak cukup dengan dua kejutan tersebut, muncul sebuah lagi pertemuan epik yang sememangnya dinanti-nantikan rakyat Malaysia iaitu antara penerbit dan pengarah popular, Michael Ang bersama Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris.

DRAMA sebabak perdamaian antara Michael Ang dan Noraniza Idris mencuri perhatian ramai pada acara AME2020.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua yang didakwa berseteru itu membuat permohonan maaf secara terbuka, sekali gus berdamai antara satu sama lain.

“Saya memohon maaf kepada pihak Michael atas ketelanjuran kata peminat yang telah menyentuh isu sensitif seperti rasis. Harap tiada lagi terasa hati antara kita selepas ini.

“Tetapi harap sangat Michael dapat mengurangkan penggunaan bahasa yang agak kasar sekiranya membuat kritikan dalam media sosial sebab kurang manis dibaca golongan muda” ujar Noraniza.

Sementara itu, Michael yang turut memohon maaf juga menegaskan biarpun menerima kecaman hebat, dia tidak akan berhenti mengkritik sesiapa sahaja dalam akaun media sosialnya.

“Sepatutnya kritikan jadi sesuatu yang membina tetapi kebelakangan ini banyak yang disalah tafsir.

“Saya akan terus mengkritik kerana itu jiwa saya. Tolong jangan sesekali ambil hati,” katanya ringkas sambil sedikit tertawa bercampur senyum.

HAQIEM RUSLI tidak menyangka masih dipilih sebagai pemenang tiga kategori, termasuk Top Top MeleTOP Lelaki, Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP. – IHSAN ASTRO (AZRUL RAFIE)

Norma baharu

Seperti lain-lain acara, AME2020 turut tidak terlepas daripada peraturan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang digariskan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Anugerah berprestij yang berlangsung dengan penuh tertib tersebut memperlihatkan para selebriti, media, kru produksi serta semua yang terlibat, wajib mematuhi SOP.
Pemakaian pelitup muka dan perisai wajah diwajibkan, selain penjarakan fizikal sepanjang anugerah berlangsung.

Meskipun pertama kali berlangsung tanpa kehadiran penonton dan kelab peminat selain perlu mematuhi segala SOP ditetapkan, AME2020 dilihat berjalan berlangsung meriah dan seakan-akan tiada cacat celanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI