KOTA BHARU – Pengendali PDRM FC, P. Maniam menganggap Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) berhak untuk mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukannya pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.
Mengakui sedikit kecewa dengan kekalahan kedua The Cops, Maniam bagaimanapun memuji barisan pemain pasukan tuan rumah yang menunjukkan semangat tinggi sepanjang perlawanan dan bermain sebagai sebuah pasukan.
“Kita boleh nampak mereka (KDN FC) bermain dengan begitu agresif. Mereka tidak banyak mencipta peluang tetapi mereka bermain dengan begitu banyak karakter. Cara KDN FC bermain menunjukkan mereka mahu menang.
“Itu merupakan kekurangan kami (PDRM FC) pada perlawanan kali ini ini. Kita tidak punya ‘character attitude’ yang dimiliki oleh KDN FC.
“Saya rasa kalau diperbaiki kelemahan ini, kita mampu bermain dengan lebih baik,” katanya selepas perlawanan malam tadi. – KOSMO! ONLINE