KOTA BHARU – Dua orang lelaki tidak memikirkan kepentingan alam sekitar apabila mereka menangkap ikan menggunakan teknik renjatan elektrik di dua buah sawah padi di Pasir Puteh di sini Jumaat lalu.
Perbuatan tidak bertanggungjawab mereka itu dikesan oleh Jabatan Perikanan Kelantan sewaktu melakukan serbuan di Kampung Gaal dan Kampung Jerat Semata.
Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Nazri Ishak berkata, serbuan itu dijalankan oleh lapan anggota penguatkuasa selepas mengadakan pemantauan bermula pukul 10 dan 11 malam.
Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, kedua-dua suspek sedang melakukan kegiatan itu sebelum bertindak melarikan diri ke kawasan semak dalam keadaan gelap apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Dalam serbuan pertama di Kampung Gaal, kita merampas alat renjatan elektrik pada pukul 10 malam.
“Sewaktu serbuan kedua, kita turut merampas alat yang sama di Kampung Jerat Semata pada pukul 11 malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Nazri berkata, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu pada pukul 8 hingga 9 malam.
Tambahnya, Jabatan Perikanan Kelantan mengesan sebanyak tiga kes sama yang berlaku di Pasir Puteh sepanjang musim tengkujuh. – K! ONLINE