fbpx

Koloni warga asing Bandar Suleiman digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Aminus ketika menemu bual Masyitah yang mendakwa ditipu ejen pekerjaan pada operasi tersebut. Foto SADDAM YUSOFF

KLANG – Koloni warga asing yang menguasai rumah flat Jalan Sultan Abdul Samad 38, Bandar Sultan Suleiman digempur pihak berkuasa, hari ini.

Dalam operasi kira-kira pukul 5 petang itu, kebanyakan mereka yang sedang sibuk membeli-belah didapati bertempiaran lari sebelum berjaya dicekup Jabatan Imigresen dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Tinjauan Kosmo! turut mendapati sebilangan warga asing bertindak mengunci pintu rumah dan menggunakan alasan mengambil anak bagi melepaskan diri.

Difahamkan, terdapat lebih 15 blok flat di lokaliti itu dengan ketinggian lima tingkat.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin berkata, operasi tersebut hasil risikan selama tiga bulan susulan aduan orang ramai selain turut tular di laman aplikasi TikTok.

Katanya, semasa serbuan didapati lokaliti perumahan flat tersebut meriah dengan himpunan warga asing yang membanjiri pasar minggu dan deretan kedai di kawasan flat tersebut.

“Setiap hujung minggu, kawasan ini akan meriah dengan warga asing akan membeli-belah susulan ada pasar minggu yang bermula pukul 5 petang.

“Tambahan, lokasi ini juga berulang kali tular di aplikasi sosial dan kita melakukan serbuan bagi memastikannya bersih daripada warga asing yang melakukan kesalahan Imigresen,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Operasi tersebut disertai 298 anggota dan pegawai termasuk dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau memberitahu, hasil operasi memeriksa 1,700 warga asing terdiri warga Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Pakistan sebelum ditahan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Ujar Khairul Aminus, hasil pemeriksaan mendapati terdapat warga asing tidak memiliki permit dan tinggal lebih masa selama lima bulan.

“Ada juga yang langgar syarat pas apabila sepatutnya berada di sektor pembinaan namun bekerja sebagai juruwang kedai runcit,” tegasnya.

Dalam pada itu, seorang wanita warga Indonesia dikenali Masyitah, 39, mendakwa telah ditipu ejen pekerjaan sehingga menjadi pendatang asing tanpa izin di negara ini.

“Saya kerugian lima juta rupiah (RM1,500) dengan dijanjikan bekerja sebagai pekerja pembersihan dengan memasuki negara ini sejak Disember lalu.

“Sepanjang tempoh tersebut, saya melakukan pelbagai kerja termasuk pembantu kedai makan dan menyewa bilik pada harga RM400 sebulan,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI