IPOH – Pergelangan tangan manusia ditemui di lokasi kebakaran kereta berhampiran Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, di sini hari ini.
Pergelangan tangan dipercayai bahagian kiri itu dijumpai di atas jalan raya oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun ketika operasi memadam kebakaran dilakukan.
Difahamkan, berlaku pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di lokasi kejadian sebelum mereka bertindak membakar sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Ketua BBP Tambun, Mohd. Jamalludin Mat Yusop berkata, maklumat diterima pihaknya pada pukul 11.16 pagi dengan sembilan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian.
Katanya, ketika jentera bomba tiba di lokasi tersebut, didapati sebuah kereta jenis Toyota Vios sedang marak terbakar membabitkan kemusnahan 95 peratus.
“Berhampiran lokasi kejadian, terdapat dua buah kereta jenis Honda Accord dan Proton Saga yang terbabit pelanggaran. Bagaimanapun, tiada mangsa ditemui melainkan pergelangan tangan manusia di atas jalan,” katanya, di sini hari ini.
Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.30 pagi dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE