SETIAWANGSA – Kerja-kerja pembersihan di Pantai Sungai Rengit yang ditimpa insiden tumpahan minyak akibat pelanggaran kapal di dalam Wilayah Singapura, dijangka siap dalam tempoh tujuh hari sekiranya cuaca mengizinkan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Nres), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerja-kerja pembersihan masih lagi dijalankan melibatkan 51 petugas di Pantai Sungai Rengit, kawasan belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rengit dan Jeti Nelayan Sungai Rengit.
“Status terkini melibatkan 95 peratus siap pada fasa satu, iaitu kerja-kerja pengumpulan sisa berminyak, fasa dua pula 20 peratus siap meliputi kerja penyemburan kawasan berbatu dan batu kerikil,” katanya ketika merasmikan Karnival Alam Kita 2024, di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Nik Nazmi berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan sehingga kerja-kerja pembersihan tamat sepenuhnya.
“Berdasarkan pemantauan, empat kawasan dilihat sudah bersih melibatkan Pantai Sungai Rengit, Jeti Nelayan Sungai Rengit, Kampung Nelayan dan belakang balai polis Sungai Rengit.
“Selain itu, kawasan bakau dan berbatu di belakang SK Sungai Rengit pula sudah 30 peratus siap, manakala kawasan berbatu di belakang Balai Polis Sungai Rengit masih belum dibersihkan serta Pantai Teluk Ramunia berhampiran masjid juga dilaporkan bersihkan, namun masih dalam pemantauan.
Tambah Nik Nazmi, pihaknya turut menerima makluman terbaru mengenai tumpahan minyak di Pulau Che Kamat dan penilaian untuk keperluan pembersihan akan dilakukan.
“Kita dapati ada tumpahan minyak di Pulau Che Kamat dan penilaian akan dilakukan terlebih dahulu serta kerjasama bersama agensi yang terlibat bakal dilakukan.
“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga telah digerakkan bagi memantau perairan Pengerang hingga ke Abu Bakar Maritime Base (ABMB) dan hasil pemantauan mendapati tiada tompokan minyak dikesan,” katanya.
Pada 21 Jun, Kosmo! melaporkan insiden tumpahan minyak akibat pelanggaran kapal di pelabuhan dalam wilayah Singapura telah mengakibatkan kesan pencemaran kira-kira 1 kilometer (km) garis pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia.