LIEPZIG – Pengurus Itali, Luciano Spalletti dijangka membuat beberapa perubahan untuk perlawanan penting menentang Croatia yang akan menentukan nasib mereka dalam kempen Euro 2024 kali ini di Stadium Leipzig awal pagi esok.
Nama-nama seperti Gianluca Scamacca, Federico Chiesa, Jorginho dan Giovanni Di Lorenzo berisiko digugurkan daripada kesebelasan utama skuad juara bertahan itu untuk aksi terakhir Kumpulan B tersebut.
Itali hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu mata untuk menamatkan saingan di tempat kedua, di belakang Sepanyol yang sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Spalletti menegaskan tidak akan mengubah pendekatan taktikal umum selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol, tetapi beliau mengakui beberapa pemain mungkin akan digantikan disebabkan prestasi yang mengecewakan dalam perlawanan tersebut.
Jorginho dan Scamacca antara pemain yang menerima kritikan hebat semasa perlawanan itu dan berkemungkinan besar akan digantikan oleh Mateo Retegui serta Bryan Cristante untuk memperkuatkan kesebelasan utama.
Dalam masa sama, Federico Chiesa dan Davide Frattesi juga berisiko diketepikan untuk aksi bertemu Croatia sementara Lorenzo Pellegrini mungkin beralih memainkan peranan lebih ke tengah untuk memberi kestabilan kepada pasukan.
Terdahulu, Spalletti menyalahkan faktor kecergasan fizikal menyebabkan prestasi buruk pasukannya, oleh itu beliau tidak boleh memilih barisan permulaan yang sama untuk perlawanan ketiga berturut-turut.
Bagaimanapun, bekas pengendali Itali, Fabio Capello mengingatkan barisan pemain supaya tidak memandang rendah kemampuan Croatia yang terdesak memerlukan kemenangan untuk meneruskan perjuangan mereka.
“Kelayakan untuk pusingan 16 hanya satu mata lagi dan perlawanan menentang Croatia akan memberi kita peluang untuk bangkit menebus kekalahan lalu. Kita boleh bertindak balas,” kata Capello. – AGENSI