KOTA BHARU – Polis sedang menjalankan siasatan termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa di Thailand untuk memburu penyeludup yang melepaskan tiga das tembakan ke arah lima anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pangkalan Haram Pok Mat dekat Tumpat pada Rabu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan itu dijalankan selepas pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut pada hari yang sama.
Menurutnya, siasatan kes itu dijalankan dengan teliti kerana ia melibatkan hubungan antara dua buah negara.
“Polis Kelantan sudah menjalankan siasatan termasuk bertukar maklumat dengan pihak berkuasa di Selatan Thailand untuk mengenal pasti dan memburu suspek yang terlibat.
“Kita mahukan satu penjelasan dan rumusan hasil daripada siasatan lanjut yang sudah dijalankan oleh kedua-dua pihak,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, sehubungan itu, pihaknya turut memanggil agensi-agensi yang mengawal sempadan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk berbincang mengenai insiden tersebut.
Menurutnya, ia bagi mengukuhkan kawalan sempadan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan.
“Pihak kastam sebaik-baiknya tidak bersendirian semasa menjalankan operasi. Saya fikir, perlu ada satu perbincangan dan kerjasama dengan pelbagai pihak semasa menjalankan tugasan.
“Oleh itu, setiap agensi penguatkuasaan di sempadan perlu bersedia dengan segala tindak balas daripada kumpulan penyeludup. Paling penting adalah pemakluman mengenai lokasi setiap anggota yang menjalankan tugas di sempadan,” ujarnya.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan, sekumpulan penyeludup bertindak berani dengan melepaskan tiga das tembakan ke arah lima anggota dan pegawai JKDM yang cuba menahan mereka ketika menyeludup petrol dan diesel ke Thailand di Pangkalan Haram Pok Mat dekat Tumpat pada Rabu lalu.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi semasa pasukan Operasi Penguatkuasaan (Marin) JKDM Kelantan menjalankan rondaan air di kawasan tersebut.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, penyeludup cuba melarikan diri dengan melompat ke dalam bot rakan mereka yang datang untuk membantu.
“Ada antara penyeludup itu mengacukan pistol ke arah anggota JDKM sebelum mereka bertindak melarikan diri.
“Semasa sudah berada di tengah-tengah Sungai Golok ke arah Thailand, penyeludup telah melepaskan dua das tembakan ke arah udara dan anggota JKDM,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, semasa bot JKDM dan bot milik penyeludup yang sudah dirampas membuat pusingan ke arah Kuala Tak Bai, penyeludup sekali lagi melepaskan satu das tembakan ke arah pasukan operasi. – KOSMO! ONLINE