PETALING JAYA – Sarawak bangkit menjadi antara gergasi ekonomi di Malaysia hasil kestabilan politik dan dasar yang jelas yang dibawa pemimpinya dalam mengangkat martabat negeri dan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sarawak bukan sahaja mencapai kejayaan luar biasa dalam sektor tenaga, malah turut melonjak dalam bidang baharu seperti teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan sekuriti makanan.
“Pencapaian ini bukan saja membanggakan negeri, bahkan Malaysia secara keseluruhannya.
“Saya percaya Sarawak miliki potensi besar untuk terus melakar kejayaan luar biasa jika dasar ekonomi yang dirangka tidak sekadar mahu mengejar kemajuan negeri lain, tetapi bermatlamat melangkaui hingga ke tingkat lebih tinggi daripada itu,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Anwar menyampaikan ucaptama ketika hadir bagi merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 di Kuching, Sarawak, malam tadi.
Hadir sama, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta pimpinan persekutuan dan negeri.
Dalam majlis tersebut, Anwar mengulangi pendirian kerajaan untuk segera melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan sedia berbincang bagi menyelesaikan apa jua perkara berbangkit berteraskan kepercayaan dan rasa hormat. – KOSMO! ONLINE