ASTANA – Sekurang-kurangnya lapan mangsa termasuk seorang kanak-kanak diselamatkan selepas sebuah bangunan pencakar langit setinggi 26 tingkat terbakar di bandar ibu negara Kazakhstan, Astana, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Bangunan setinggi 78 meter yang terletak berhampiran pusat beli-belah Khan-Shatyr itu terbakar dengan api dilihat menyambar setiap tingkat.
Menurut laporan polis, kebakaran dipercayai bermula di tingkat atas atau bumbung bangunan yang menempatkan pejabat dan kediaman.
Pihak berkuasa bagaimanapun masih belum mengesahkan sama ada terdapat mana-mana penduduk yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Anggota bomba dilaporkan mencari mangsa yang masih terperangkap di dalam Kediaman Rixos Khan Shatyr tersebut, manakala punca kebakaran masih belum diketahui. – AGENSI