PETALING JAYA – Pasukan Terengganu FC (TFC) gagal memanfaatkan kelebihan awal selepas meraih keputusan seri 1-1 ketika menentang Kuching City pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, skuad Sang Penyu masih lagi mengekalkan ramuan terbaik dengan Ismahil Akinade, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid mengemudi jentera serangan.
Kedua-dua pasukan yang masih segar dengan kejayaan mara ke pusingan suku akhir Piala FA mempamerkan corak permainan terbuka sepanjang awal babak pertama namun gagal memecah kebuntuan.
Bersambung pada separuh masa kedua, pasukan pelawat kendalian Tomislav Steinbruckner akhirnya berjaya mendahului 1-0 selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-50.
Pengadil perlawanan membuat keputusan selepas meneliti Video Bantuan Pengadil apabila Rodney Celvin Akwensivie mengasari Akinade dengan Safawi tidak mempunyai masalah untuk melunaskan tanggungjawab tersebut.
Tersentak dengan gol tersebut, The Cats yang dikendalikan oleh Aidil Sharin Sahak Kembali memperkemaskan jentera serangan dengan menggandakan asakan ke atas gawang TFC.
Pemain import Kuching City, Yuki Tanigawa memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata selepas meledak gol penyamaan pada minit ke-80 dengan keputusan kekal sehingga wisel penamat. – KOSMO! ONLINE