MUMBAI – Seorang pengguna media sosial menyatakan bahawa kesesakan yang teruk di kota raya Mumbai, India menjadi punca dia mengalami trauma kelas pertengahan, lapor portal berita NDTV hari ini.
Bhaumik Gowande menceritakan pengalamannya selepas mendarat di sebuah lapangan terbang di Mumbai dan kemudian bergerak keluar dari lokasi tersebut.
Dia mengulas mengenai lalu lintas di Mumbai yang dihadapinya selepas keluar dari kawasan lapangan terbang.
“Mendarat di Mumbai selepas tinggal di New Delhi dan baharu sahaja keluar dari lapangan terbang. Lalu lintas bandar ini benar-benar memberi saya trauma kelas pertengahan,” kata Gowande.
Katanya, walaupun dia mendarat pada pukul 7.15 malam(waktu tempatan) kelmarin dan berjalan keluar dari lapangan terbang, lalu lintas di Mumbai tidak membolehkan dia pulang ke penginapannya dengan cepat.
Dia mendakwa mengambil masa kira-kira 40 minit selepas menaiki teksi untuk menempuh jarak cuma 600 meter dari lapangan terbang.
Walaupun sesetengah netizen bersetuju dengan senario lalu lintas di bandar itu, mereka tidak berpuas hati dengan pilihan perkataan yang digunakan oleh Gowande.
Seorang netizen menyelar lelaki itu kerana menggunakan perkataan trauma kelas pertengahan untuk menggambarkan betapa teruknya kesesakan jalan raya di Mumbai. – AGENSI