KUALA LUMPUR – Persatuan Skuasy Raket Kebangsaan (SRAM) berharap gelanggang lantai kaca baharu dapat dibangunkan di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil pada masa akan datang.
Presiden SRAM, Gerard Monteiro berkata, ketika ini kejohanan-kejohanan di pentas antarabangsa telah beralih ke permukaan lantai kaca dan ia dapat dilihat sewaktu Kejohanan Dunia di Kaherah, Mesir pada Mei tahun ini.
Gerard berkata pihaknya kini dalam proses memohon bajet tambahan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf gelanggang di venue tersebut.
“Ketika ini Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil sedang dinaik taraf sejak September tahun lalu, membabitkan kemudahan asas seperti tempat duduk, bumbung, tandas dan penghawa dingin.
“Memandangkan projek naik taraf masih lagi berjalan, kita bercadang membuat permohonan tambahan bagi menaik taraf gelanggang kaca dan gelanggang latihan.
“Kita akan merayu bajet tambahan kerana ketika ini, gelanggang kaca sudah mula menggunakan teknologi baharu, jadi, kita berpendapat usaha tersebut perlu dilakukan,” katanya, selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan SRAM di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.
Menurut beliau, Pusat Skuasy Nasional tidak pernah dinaik taraf secara besar-besaran sejak Sukan Komanwel 1998.
Jelas Gerard, sepatutnya kerja-kerja menaik taraf siap pada September ini, namun, disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu projek tersebut dijangka tidak dapat dilengkapkan mengikut jadual iaitu September tahun ini.
“Oleh disebabkan kelewatan yang berlaku, kami berasakan elok juga kami memohon bajet tambahan untuk gelanggang kerana sebelum ini kerja-kerja membaik pulih hanya dibuat secara kecil-kecilan,” ujarnya, sambil mengharapkan proses naik taraf pusat skuasy itu dapat disiapkan pertengahan tahun hadapan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Gerard mengesahkan Mesyuarat Agung SRAM kali ini tidak melibatkan perubahan bagi jawatan-jawatan utama.
Tambahnya, beliau masih mengekalkan jawatannya selaku Presiden SRAM dengan Mohamad Azlan Iskandar sebagai Timbalan Presiden.
Sharon Wee dan Andrew Muthu turut mengekalkan kedudukan mereka sebagai Naib Presiden, manakala, Mohd Nafzahizam Mohd Adnan sebagai Setiausaha Kehormat serta T. Randy Chitty selaku Bendahari Kehormat. – KOSMO! ONLINE