BANGKOK – Seorang anggota polis trafik yang disyaki meminta wang daripada seorang warga Jepun telah dipindahkan ke jawatan tidak aktif, lapor portal berita Thai PBS kelmarin.
Komisioner Polis Metropolitan, Leftenan Jeneral Thiti Sangsawang mendedahkan tentang pertukaran jawatan anggota polis yang menerima rasuah tersebut.
Aduan telah difailkan terhadap anggota itu kerana meminta rasuah, kata Thiti.
Insiden itu dipercayai berlaku beberapa tahun lalu tetapi hanya terbongkar baru-baru ini apabila klip video mengenainya disiarkan di media sosial Thailand.
Dirakam dari dalam kenderaan yang dipandu oleh seorang rakyat Jepun, klip video itu menunjukkan dia disaman oleh seorang anggota polis.
Pemandu berkenaan bertanya kepada anggota polis terbabit di mana dia boleh membayar saman itu atau jika dia boleh membayarnya di tempat kejadian.
Lelaki itu kemudian menyerahkan wang kertas 500 baht (RM64.24) kepada anggota polis itu tetapi dia diminta meletakkan di bawah kertas saman.
Pemandu itu meletakkan wang tersebut di bawah kertas saman dan menyerahkannya semula kepada anggota polis terbabit. – AGENSI