PETALING JAYA – “Ingat, anak kecil suka meniru. Ikut semua yang mereka nampak perbuatan ibu dan bapa,” tegas pakar perubatan swasta, Dr. Ahmad Samhan menerusi perkongsian di kumpulan Telegramnya.
Katanya, ibu bapa perlu memberi contoh terbaik kepada anak-anak dan dilarang untuk bersikap negatif di hadapan mereka kerana ia akan menjadi cerminan pada masa akan datang.
Tegas Dr. Ahmad Samhan, antara perbuatan yang dilarang dilakukan oleh ibu bapa adalah menipu kerana ia boleh mendatangkan tanggapan salah dalam kalangan anak-anak.
“Ibu bapa yang suka menipu menyebabkan anak-anak tidak percaya kepada orang tua mereka lagi.
“Mereka juga akan mudah percaya bahawa bersikap menipu atau berbohong itu adalah cara untuk menyelesaikan masalah,” katanya.
Tambah beliau, antara kesan lain yang boleh menjejaskan pembesaran anak-anak dengan baik akibat daripada sikap menipu ibu bapa adalah mereka akan hidup dalam ketakutan.
“Anak-anak akan membesar menjadi penakut kerana terpedaya dengan tipu helah orang tuanya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE