JOHOR BAHRU – Seramai 70 orang warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) didapati positif setelah menjalani ujian saringan vaksin human papillomavirus (HPV) kanser pangkal rahim (servik).
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad berkata, individu itu dikesan hasil saringan awal yang dibuat ke atas 918 warga PDRM setakat ini menerusi Program Frontliners Uniting Against Cervical Cancer.
Katanya, program anjuran ROSE Foundation itu diadakan sejak Julai lalu yang telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kuala Lumpur dan Terengganu.
“Bagi mereka yang positif, mereka perlu merasa lega kerana dapat mengesan virus yang boleh menyebabkan kanser itu di peringkat awal. Mereka tidak perlu takut untuk menjalani ujian saringan ini yang boleh dilakukan sendiri.
“ROSE Foundation menjaga maklumat sulit individu yang menjalani ujian saringan ini. Keputusan ujian akan dihantar terus kepada penama secara atas talian serta senarai hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Asmawati berkata, program ini dianjurkan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan berusia 30 tahun ke atas yang dipilih.
“Kita akan gunakan kaedah baharu dalam proses ujian ini. Ia seperti mẹmbuat ujian swab test bagi Covid-19 dan keputusan saringan boleh diperolehi dalam masa dua minggu.
“Kit saringan HPV itu berharga RM250 hingga RM300 seorang, namun PDRM menerima sumbangan dalam bentuk tajaan daripada Etiqa Cares menerusi program anjuran ROSE Foundation dan PDRM.
“Berdasarkan statistik terkini, seramai 10 orang warga PDRM yang sedang berkhidmat dikesan mengidap kanser rahim dan seorang mengidap kanser servik. Selain itu tiga warga Pasukan telah meninggal dunia akibat kanser Rahim,” katanya.
Beliau berkata, mengikut statistik itu, pihaknya merasakan inisiatif ini perlu diteruskan di semua IPK di seluruh Malaysia untuk memastikan pasukan barisan hadapan menerima manfaat ini. – K! ONLINE