LEIPZIG – Pertembungan antara Belanda dan Perancis dalam saingan Kumpulan D di Red Bull Arena Leipzig awal pagi tadi menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata apabila perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan.
Pada perlawanan tersebut, penyerang sensasi Les Bleus, Kylian Mbappe sekadar memanaskan bangku simpanan kerana masih belum pulih daripada kecederaan patah hidung yang dialami ketika bertemu Austria sebelum ini.
Situasi itu jelas merencatkan serangan Perancis apabila sekadar melakukan tiga percubaan tepat daripada 15 percubaan keseluruhan biarpun menguasai 63 peratus perlawanan berbanding Belanda.
Secara hakikatnya, Perancis hampir tewas selepas Xavi Simons menjaringkan gol pada minit ke-69, namun dibatalkan apabila Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Denzel Dumfries berada dalam kedudukan ofsaid dan menghalang penglihatan penjaga gol, Mike Maignan.
Keputusan yang dianggap kontroversi itu menafikan peluang skuad Oranje untuk meraih tiga mata berharga dan memastikan kemaraan lebih awal ke pusingan kalah mati.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada perlawanan tersebut, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan mereka masing-masing gagal untuk mencetak sebarang jaringan.
Hasil keputusan seri itu, Belanda kini menghuni kedudukan teratas saingan peringkat kumpulan apabila berkongsi empat mata dengan Perancis, namun memiliki kelebihan dari segi jumlah jaringan. – KOSMO! ONLINE