PETALING JAYA – Sebanyak 20 kawasan sekitar ibu kota akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual malam ini ekoran henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas (LRA Bukit Nanas).
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berkata, LRA tersebut terpaksa dihenti tugas kerana terdapat peningkatan warna dalam air terawat di loji terbabit dan pihaknya masih sedang menyiasat punca insiden tersebut.
“Berikutan kejadian ini, sebahagian kawasan di wilayah Kuala Lumpur sedang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
“Bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas,”katanya dalam satu kenyataan.
Justeru kata Air Selangor, para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.
Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat daripada saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.-KOSMO! ONLINE.