fbpx

BAM mahu jadi kuasa besar badminton dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORZA (tengah) percaya sudah tiba masanya Malaysia menjadi kuasa besar badminton dengan berada dalam ranking tiga pasukan terbaik dunia.

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ingin terus mengorak langkah apabila berazam menjadi kuasa besar dalam sukan badminton dengan meletakkan sasaran untuk berada dalam ranking tiga pasukan terbaik dunia menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Bagi mencapai sasaran itu, BAM telah menjalinkan kerjasama dengan pakar perunding swasta iaitu Pemandu Associates yang tertumpu meningkatkan operasi persatuan induk tersebut serta mengukuhkan ekosistem badminton tempatan dan penambahbaikan bagi menghadapi cabaran masa depan.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, langkah kerjasama dengan Pemandu itu penting sebagai transformasi agar mereka tidak terus ketinggalan di belakang tiga kuasa besar badminton dunia seperti Indonesia, China, Korea Selatan dan Jepun.

“Walaupun kami pernah meraih kejayaan pada masa lalu, termasuk melahirkan juara dunia seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan juga kemunculan pasangan muda dalam beregu lelaki namun kami tidak boleh terus selesa dengan kejayaan itu.

“Landskap badminton yang berkembang pesat menuntut kami menyesuaikan diri dan terus berinovasi serta bersedia untuk mengatasi cabaran yang mendatang.

“Ketika ini, dunia badminton sentiasa berubah dan dibentuk oleh teknologi baharu, demografi yang berubah. Jika kita tidak menerima perubahan ini dan secara proaktif meneruskan transformasi, kita berisiko ketinggalan dan kehilangan kedudukan kita dalam kalangan negara badminton terkemuka dunia.

“Jadi, kita harap dengan adanya Pemandu ini dapat membuktikan kita tulus dalam membuat sebarang keputusan terutama untuk membangunkan skuad badminton negara pada tahap lebih baik,” katanya.

Melalui kerjasama ini, Pemandu Associates akan menjalankan semakan menyeluruh terhadap bidang operasi teras BAM termasuk Jabatan Teknikal, Pembangunan dan Pengurusan Pemain, Pengurusan Kewangan, Tadbir Urus dan Pengurusan Prestasi.

Sementara itu Pengerusi Pemandu, Datuk Sri Idris Jala meluahkan keyakinan bahawa sasaran untuk berada dalam kedudukan ketiga dunia itu bukan sesuatu yang mustahil baki tempoh lima tahun ini.

“Lima tahun itu sudah cukup untuk Pemandu. Buat ketika ini Pemandu akan melalui tiga fasa iaitu analisis, bengkal dan penyelesaian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI