HARAPAN rakyat Malaysia menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 adalah mahu melihat atlet negara melayakkan diri ke temasya berprestij di dunia itu melakukan kejutan membawa pulang kilauan pingat emas ke tanah air.
Bagaimanapun, misi memburu emas di temasya empat tahun sekali itu bukan sesuatu tugas mudah kerana Olimpik Paris yang membuka tirai secara rasmi pada Julai ini akan menghimpun atlet-atlet berstatus bintang dari seluruh dunia.
Sedar akan cabaran itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menerbitkan Program Road to Gold (RTG) bagi memastikan atlet negara yang berpotensi untuk meraih emas tidak berdepan tekanan.
Bagi jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, perkataan sukar adalah perkara kedua dalam kamus perjalanan kariernya.
Pun begitu, pelumba kelahiran Terengganu itu mengakui, misi memburu emas bukan terletak di bahu sesetengah atlet, malah atlet negara yang melayakkan diri ke pentas itu semuanya berpotensi untuk melakukan kejutan meraih pingat emas pertama negara.
“Semua atlet adalah sandaran kerana itulah tujuan utama program ditubuhkan kerana semua atlet telah menerima elaun sama rata dan juga dapat servis tambahan.
“Semua dalam RTG kena berikan terbaik kerana mereka dalam program ini bukan sekadar meraih pingat, tetapi membawa pulang emas.
“Capai prestasi atau tidak itu cerita lain, tetapi mereka kena beri 110 peratus dari latihan hinggalah di pentas Olimpik.
“Tidak adillah kalau dalam RTG hanya seorang diletakan sandaran membawa pulang emas,” katanya.
Azizulhasni turut mengakui impiannya tetap sama sebaik melangkah ke Sukan Olimpik iaitu memburu pingat emas yang belum pernah dimenanginya sepanjang lima kali menyertai temasya berprestij dunia tersebut.
Menurut pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu, dia mahu melengkapkan perjalanannya dalam Olimpik selepas membawa pulang gangsa di Rio 2016 dan perak pada 2021 di Tokyo.
Semua atlet yang terpilih dalam RTG akan diberikan sokongan tambahan bagi membantu mereka merelisasikan impian memenangi pingat emas pada temasya terbesar dunia itu.
Selain diberikan elaun sebanyak RM3,000 sebulan, atlet turut dibantu menerusi sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) merangkumi keperluan psikologi, fisioterapi, tukang urut, analisis video dan perkhidmatan lain yang disediakan ISN.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik kontinjen negara pada temasya berprestij itu ialah pada Olimpik 2016 di Rio de Janeiro apabila membawa pulang lima pingat, empat perak dan satu gangsa menerusi dalam sukan badminton, terjun dan basikal, sekali gus menamatkan kedudukan di tangga ke-60 keseluruhan.
Di Olimpik Tokyo 2020, prestasi negara terus jatuh apabila meraih dua pingat dan Datuk Azizulhasni dianggap sebagai penyelamat apabila meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki, manakala gandingan badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gangsa. -KOSMO! ONLINE