fbpx

1,000 anak pokok rozel ditanam di SK Bagan Serai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaridah (kiri) mengiringi Razman (dua dari kanan) melawat tanaman yang diusahakan murid-murid di SK Bagan Serai hari ini.

BAGAN SERAI – Sejumlah 1,000 anak pokok rozel akan ditanam secara hidroponik di Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Serai dalam usaha melestarikan kawasan persekitaran sekolah yang bersih, indah dan ceria bermula Januari depan.

Guru Besar SK Bagan Serai, Zaridah Othman berkata, penanaman pokok tersebut dibuat bagi menyahut seruan kerajaan negeri Perak dalam mencapai sasaran penanaman 100,000 batang pokok pada hujung Januari 2021 sempena program My Healthy Garden.

“SK Bagan Serai antara salah satu daripada 24 sekolah dalam program tersebut yang melibatkan 14 orang murid Tahun 3 hingga 5 bersama guru-guru mereka termasuk guru pendidikan khas.

“Dalam program melibatkan kos RM2,500 ini, murid-murid akan didedahkan berkaitan pertanian moden menggunakan konsep fertigasi seperti dilakukan pekebun di Cameron Highlands,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran My Healthy Garden yang dirasmikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, Razman Zakaria di SK Bagan Serai di sini hari ini.

Tambah Zaridah, pihaknya sebelum ini telah pun memulakan penanaman 300 pokok herba, orkid (100) dan 50 jenis sayuran di kawasan sekolah berkenaan.

“Semua tanaman dan sayuran yang diusahakan murid-murid ini kemudiannya akan dijual kepada warga sekolah dan hasilnya akan dimasukkan ke dalam tabung sekolah,” katanya lagi.

Sementara itu, Razman berkata, program tersebut akan memberi manfaat kepada murid-murid dan pihak sekolah kerana melatih diri menjadi ejen penyampai konsep pertanian bandar di samping melahirkan persekitaran kondusif dan menggalakkan mereka mencintai alam sekitar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN