PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu pasukan Mobile Legend Bang Bang (MLBB) profesional negara bergelar juara pada Piala Dunia eSports 2024 (EWC) di Riyadh, Arab Saudi akhir bulan ini.
Harapan itu disuarakan Ahmad Zahid ketika berkesempatan bertemu tiga pasukan negara dan wakil MOONTON Games di pejabatnya di sini tengah hari tadi.
“Johan… johanlah… (hadiah utama) AS$3 juta (RM14.12 juta) ditawarkan untuk juara,” itu reaksinya ketika ditanya peluang pasukan sukan elektronik (eSukan) negara pada kejohanan dunia itu nanti.
Tiga pasukan negara diketuai Selangor Red Giants, HomeBois dan Gaimin Gladiators HomeGirls akan berentap di kejohanan itu yang akan berlangsung dari 28 Jun hingga 14 Julai ini.
Pasukan negara akan berentap dalam permainan MLBB peringkat kumpulan dan wildcard Mid Season Cup (MSC), MLBB Women’s Invitational (MWI) dan Piala Dunia eSports.
Ahmad Zahid berkata, meskipun eSukan masih baru berbanding sukan konvensional lain seperti bola sepak, badminton dan sebagainya, namun ia menjadi salah satu pilihan riadah paling popular khususnya dalam kalangan belia.
Menurutnya, beliau percaya sokongan kerajaan terhadap eSukan seperti MLBB akan membawa banyak kelebihan terutama dalam menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa.
“MLBB ini mempunyai jangkauan yang meluas dj peringkat global dan tersedia di lebih 139 puah negara. Malaysia juga akan menjadi tuan rumah bagi kejohanan Kejohanan Dunia M6 MLBB 2024 pada November ini.
“Dengan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan, ia akan disertai atlet dari seluruh dunia. Pastinya kerajaan akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk bersama-sama merealisasikan penganjuran acara yang berprestij ini,” katanya.
Katanya, ia sekali gus membantu mewujudkan ekosistem eSukan yang lebih mampan dan memberi kesan positif kepada masyarakat, termasuk menjadikan Malaysia antara destinasi pelancongan e-sukan yang terkemuka di rantau ini.
Jelasnya lagi, sokongan yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan melalui Esports Integrated (ESI) adalah penting bukan sahaja untuk Kejohanan Dunia M6 tetapi juga untuk ekosistem eSukan Malaysia secara keseluruhannya. – KOSMO! ONLINE