MENURUT laporan Kosmo! sekitar Mac lalu, permintaan mendapatkan anak angkat di negara ini mencatat angka tinggi dan bahkan, ramai pasangan yang belum dikurniakan zuriat menunggu giliran selama bertahun-tahun.
Senario itu juga membabitkan selebriti dan terkini penyanyi Datin Alyah bersama suaminya, maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS turut mengambil anak angkat perempuan diberi nama Nur Izzara.
Sepanjang mendirikan rumah tangga pada 2013, Alyah pernah menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) bagi mendapatkan zuriat tetapi rezeki tidak berpihak kepadanya.
Minggu ini, HibGlam menyenaraikan beberapa selebriti tanah air yang turut mengambil anak angkat selepas bertahun-tahun berusaha mendapatkan zuriat.
Ella
RATU rock negara, Ella berkahwin dengan pilihan hati Azhar Husaini Ghazali pada 7 Julai 2012 tetapi sehingga kini mereka tidak dikurniakan cahaya mata sendiri.
Sekitar 2019, suaminya yang merupakan juruterbang berkongsikan berita gembira apabila mereka mengasuh anak angkat perempuan yang kini berusia tujuh tahun.
Dalam temu bual bersama media, Ella atau nama lengkapnya Nor Zila Aminuddin, 58, secara terbuka berkongsi mengenai anak angkat yang diberi nama Shanome Az Zahra yang telah mengubah kehidupannya 180 darjah.
Bagaimanapun, pelantun Permata Biru itu tidak memaklumkan secara terperinci tentang anak perempuan mereka itu walaupun mempunyai lebih 11,000 pengikut Instagram.
Elyana
SELEPAS mendirikan rumah tangga pada 2010, penyanyi Elyana diberikan rezeki zuriat setahun selepas bernikah bernama Cinta Sumayah.
Dia pernah mengalami keguguran akibat mengandung luar rahim pada 2016 dan terpaksa menggugurkan kandungan kerana bimbang komplikasi kanser yang dihadapi.
Pada November 2018, Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal berkongsi khabar gembira tentang pengambilan anak angkat lelaki bernama Tulus tetapi tidak lama kemudian, dia terpaksa memulangkan semula kepada keluarga atas sebab tertentu.
Setahun kemudian, dia mengambil seorang lagi anak angkat perempuan bernama Cahaya Ramadhani selepas memuat naik beberapa hantaran dalam Instagram berbunyi: “Anak perempuanku yang kedua.”
Achey
IMPIAN pelawak Achey bersama isteri Nor Hasanah Yahaya untuk bergelar ibu bapa akhirnya dimakbulkan apabila mereka sepakat mengambil anak angkat perempuan pada Mei 2018 selepas 14 tahun mendirikan rumah tangga.
Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, 37, bersyukur dengan kehadiran bayi bernama Nur Tiara Zinnirah Nasir yang melengkapi keluarganya.
Difahamkan, Achey melalui prosedur pengambilan anak angkat secara sah dari segi undang-undang dan membuat pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sehingga kini, Achey masih mencuba mendapatkan anak daripada benih sendiri namun, masih belum dikurniakan rezeki daripada Ilahi.
Zizie Izzete
MENDIRIKAN rumah tangga bersama ahli politik, Datuk Seri Bung Mokhtar pada 2010, pelakon Datin Seri Zizie Izzete mengambil anak angkat perempuan iaitu Nayla Nurjenna selepas lima tahun perkahwinan.
Keputusan terbabit dibuat selepas pemilik nama lengkap Zizie Izette Abdul Samad itu pulang dari mengerjakan umrah dan difahamkan bayi berkenaan mempunyai kembar bernama Naila Marjenna yang dijaga ibu kandungnya di Sandakan, Sabah.
Beberapa tahun kemudian, Zizie menambah seorang lagi anak angkat bernama Aaric Zayn Izzete.
Dalam kesibukan berurusan proses penjagaan bayi lelaki itu dengan ibu kandung, Zizie disahkan hamil anak pertama.
Lebih menggembirakan apabila dia melahirkan anak kembar lelaki pada Disember 2017 bernama Aadam Zac Izzete dan Aaleph Zeke Izette.
Abby Abadi
SEJAK mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faizal pada 14 Ogos 2015, pelakon Abby Abadi tidak mempunyai rezeki untuk menimang cahaya mata.
Sepanjang perkahwinan, Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 46, sudah mengalami dua kali keguguran iaitu pada 21 April 2016 dan sekitar Julai 2017.
Selepas itu, mereka membuat keputusan mengambil sepasang anak angkat diberi nama Muhammad Daiyan Fayyan dan Maisara Dayana Fathia pada 2018.
Tidak lama kemudian, pelakon Gerak Khas itu dikurniakan cahaya mata lelaki pra matang, namun selepas 70 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Sungai Buloh, bayi bernama Muhammad Danial Firman menghembuskan nafas terakhir.
Meskipun sudah memiliki sepasang anak angkat, bekas anggota kumpulan Elite yang sudah mempunyai tiga anak hasil perkahwinan terdahulu mengambil keputusan menambah seorang lagi bayi perempuan bernama Maira Darda Farisa pada 2020.