fbpx

MUDA lantik Tommy Thomas, Ambiga uruskan pendaftaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq

PUTRAJAYA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) melantik bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan mewakili parti itu bagi mendapatkan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Pengasasnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, langkah itu diambil susulan tiada sebarang perkembangan kelulusan diberikan ROS kepada pihaknya meskipun sudah lebih empat bulan permohonan rasmi dikemukakan.

“Proses pendaftaran MUDA sebagai sebuah parti politik yang sah dibuat sejak 17 September, namun sehingga hari ini, barisan penaja MUDA masih belum menerima apa-apa perkembangan terkini mengenainya.

“Jadi kami (MUDA) memberikan tempoh tujuh hari kepada ROS untuk memberikan kelulusan dan sekiranya tidak kes ini akan dibawa ke mahkamah,” katanya pada sidang akhbar selepas menghantar surat tuntutan kepada ROS hari ini.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, sebagai perbandingan, pendaftaran Perikatan Nasional hanya mengambil masa selama tiga hari di bawah kerajaan hari ini manakala, pada era kerajaan lama Barisan Nasional, pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia mengambil masa selama 30 hari.

Katanya, segala dokumen dan keperluan berkaitan telah diserahkan kepada ROS tetapi sehingga kini tiada sebarang keputusan sama ada diluluskan atau sebaliknya.

“MUDA juga tidak sesekali menuntut untuk diberi sebarang layanan istimewa daripada pihak ROS.

“Kelewatan pendaftaran MUDA tidak boleh diterima sama sekali terutamanya apabila semua komunikasi antara ROS dan MUDA tidak pun diberi alasan-alasan untuk menolak atau melengah-lengahkan pendaftaran MUDA,” katanya.

Menurutnya lagi, hak setiap warganegara untuk membentuk persatuan telah dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebarang kelewatan daripada pihak ROS secara tidak langsung menafikan hak kepada penaja serta penyokong MUDA.

“Kami menyerahkan sepenuhnya isu pendaftaran parti ini kepada undang- undang negara dan mendesak pihak ROS untuk meluluskan dengan segera MUDA sebagai sebuah parti politik yang sah di negara Malaysia,” jelasnya.

Kosmo! 17 September lalu melaporkan MUDA mengemukakan permohonan rasmi penubuhannya sebagai parti politik kepada ROS. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI