MELAKA – Tiga beradik perempuan termasuk seorang lelaki dalang eksploitasi warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 56 pertuduhan memperdagangkan 35 wanita sebagai pekerja pembersihan secara paksa, sejak lapan bulan lalu.
Ketiga-tiga beradik, Ee Hwei Ping, 38; Ee Hwei Ting, 34 dan Ee Hwei Shan, 33, serta Koh Chee Pin, 38, iaitu suami kepada Hwei Shan mengaku tidak bersalah sebaik sahaja 56 pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah menggunakan bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut 35 pertuduhan yang dibacakan terhadap ketiga-tiga beradik itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan dengan mencapai niat bersama memperdagangkan 32 wanita warga Indonesia dan tiga wanita Kemboja bagi maksud eksploitasi kerja.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda.
Manakala Koh Chee Pin didakwa di atas 21 pertuduhan kerana bersubahat bersama isterinya dan kakak iparnya dengan memperdagangkan 21 wanita warga asing bagi maksud eksploitasi kerja di mana kesalahan tersebut dilakukan hasil bersubahat.
Chee Pin didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda.
Kesemua kesalahan itu lakukan keempat-empat mereka di Taman Merbok, Bukit Katil, Melaka di antara Mac sehingga 12 November lalu.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah dan Mazuin Hashim mencadangkan jaminan sebanyak RM50, 000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Peguam Faiezad Razali dan Mohd. Redzuan Mohamed Yusoff yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guam Hwei Ting dan Chee Ping masing-masing mempunyai tiga orang anak yang masih kecil, manakala Hwei Shan serta Chee Ping mempunyai empat anak.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak Norma kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM40, 000 terhadap setiap tertuduh dengan syarat tambahan passport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis sehingga selesai.
Beliau turut menetapkan tarikh 15 Januari depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Kesemua tertuduh kemudian membayar jaminan tersebut. – K! ONLINE