PETALING JAYA – Kawasan di utara Semenanjung kekal dilanda cuaca buruk sejak pagi tadi dan dijangka terus berlarutan sehingga awal petang nanti.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan, hujan lebat, ribut petir dan angin kencang berpotensi melanda negeri Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan dan Kuala Muda), Pulau Pinang serta Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Perak Tengah dan Bagan Datuk).
Selain itu, turut menerima jangkaan yang sama adalah Selangor melibatkan daerah Kuala Langat dan Sepang.
“Di Negeri Sembilan pula, hujan lebat dijangka berlaku sekitar Seremban, Port Dickson dan Rembau.
“Bagi negeri Sarawak, melibatkan Sibu (Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah) dan Bintulu (Tatau),” lapor MetMalaysia di Facebook sebentar tadi.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang tertumpu sekitar negeri utara pada sebelah pagi selain turut melanda Melaka.
Bagaimanapun, keadaan tersebut terus berlanjutan sehingga tengah hari ini. – KOSMO! ONLINE