SCHALKE – Pengendali Itali, Luciano Spalletti mengakui pasukannya tidak berada pada tahap terbaik selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam aksi kedua Kumpulan B saingan Euro 2024 di Stadium Veltins Arena awal pagi tadi.
Menurut Spalletti, pasukan La Roja ternyata lebih bersedia apabila mendominasi sebahagian besar perlawanan sehingga anak-anak buahnya gagal melakukan sebarang ancaman ke kubu lawan.
“Ini adalah aksi yang sangat mengecewakan kerana anda boleh lihat dengan jelas bagaimana mereka lebih tajam jika dibandingkan dengan pasukan kami. Barisan pemain gagal memberikan tentangan yang diharapkan.
“Segalanya nampak sukar daripada awal permainan lagi selepas mereka berjaya menghalang kami bermain seperti biasa dengan melakukan tekanan terhadap pasukan ketika melakukan hantaran-hantaran pendek.
“Saya tidak tahu apa yang perlu, namun saya percaya masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dan kita perlu lupakan segera kekecewaan ini kerana Sepanyol memang berhak untuk meraih tiga mata penuh,” katanya.
Sementara itu, penjaga gol yang juga kapten The Azzurri, Gianluigi Donnarumma mengakui peluang pasukan untuk lolos ke pusingan kalah mati masih terbuka jika melakar kemenangan ke atas Albania pada aksi terakhir nanti.
“Saya rasa nasib (untuk mara ke pusingan seterusnya) masih di tangan kami. Cuma, ini adalah perlawanan yang teruk untuk dilihat memandangkan kami tidak bermain dengan baik apabila sering kehilangan bola sehingga dihukum pasukan lawan,” katanya.
Itali selaku juara bertahan, tewas dalam perlawanan itu hasil jaringan sendiri pemain pertahanannya, Riccardo Calafiori pada minit ke-55. – AGENSI