ATLANTA – Juara bertahan, Argentina tidak mempunyai masalah untuk memulakan kempen Copa America 2024 dengan langkah kanan selepas menewaskan Kanada 2-0 pada aksi pembukaan Kumpulan A pagi tadi.
Pada perlawanan itu, skuad La Albiceleste membariskan kesebelasan terbaik dengan kapten, Lionel Messi serta Julian Alvarez dan Angel Di Maria mengetuai jentera serangan.
Argentina dilihat tidak mempunyai masalah untuk mendominasi sebahagian besar babak pertama tetapi gagal memecah kebuntuan apabila mensia-siakan banyak peluang terhidang.
Bersambung pada babak kedua, Argentina tampil lebih garang apabila Alvarez berjaya meledak gol pertama pada minit ke-49 selepas menerima hantaran Messi.
Messi sekali lagi menjadi ‘arkitek’ Argentina apabila membuat umpanan kepada pemain gantian, Lautaro Martinez untuk jaringan kedua pada minit ke-88. – KOSMO! ONLINE