fbpx

Orang Asli usung motosikal redah laluan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUHANA Rajasulung (kanan) bersama Sari Din (kiri) mengusung motosikal meredah Sungai Inching, Pos Balar untuk ke Bandar Gua Musang.

GUA MUSANG – Seramai 20 penduduk Orang Asli di Pos Balar di sini terpaksa meredah sungai dengan mengusung motosikal untuk keluar ke bandar Gua Musang semalam.

Air yang naik di kawasan itu menyebabkan mereka terpaksa mengambil masa kira-kira 10 jam untuk sampai ke bandar ini apabila perlu melalui laluan jalan balak yang rosak dan meredah air sungai yang naik.

Seorang penduduk Orang Asli, Sari Din, 28, berkata, kebiasaannya mereka hanya mengambil masa lima jam untuk ke bandar Gua Musang.

Katanya, hujan berterusan sejak lebih tiga hari lalu menyebabkan keadaan jalan berselut dan paras air sungai meningkat.

“Kami bertolak dari rumah pada pukul 10 pagi dan sampai ke bandar pukul 8 malam. Kami terpaksa bermalam di Gua Musang sebelum bertolak balik pagi ini.

“Kami keluar secara berkumpulan dengan motosikal bagi memudahkan mengusung motosikal apabila meredah sungai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, sepupu Sari, Suhana Rajasulung, 31, berkata, dia sendiri terpaksa menunggang motosikal meredah lumpur dan sungai untuk ke bandar Gua Musang.

Katanya, mereka keluar untuk membeli barang keperluan makanan yang sudah kehabisan serta membantu jiran mereka yang ingin menghantar anak mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.

“Setiap tahun jika musim hujan, kami golongan wanita termasuklah warga emas perlu melalui cabaran jalan rosak dan meredah sungai.

“Kami sudah lali kerana hanya itu jalan perhubungan kami sejak turun-temurun,” katanya.

Tambah Suhana, beras dan barang keperluan lain hampir kehabisan menyebabkan keluarga Orang Asli terpaksa berjimat cermat.

Katanya, mereka akan makan ubi kayu dan sayuran kampung yang ditanam sendiri sebelum keluar membeli barangan di bandar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI