fbpx

Jana RM20,000 sebulan jual kuih kapit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAFINAZ AINAA mengusahakan bisnes kuih kapit di Pasir Penambang, Kuala Selangor.

SETIAP perniagaan menuntut erti tidak kenal putus asa, apatah lagi ketika menanggung kerugian.

Situasi getir itu turut dilalui oleh pengusaha kuih tradisional, Shafinaz Ainaa Muslim, 39, selepas produknya gagal dieksport ke China akibat pandemik Covid-19.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik itu menjejaskan perniagaan atas nama Ratu Kapit Station yang diusahakannya sejak tahun 2017.

Namun bagi Shafinaz Ainaa, perkara itu langsung tidak menghalang dirinya untuk bekerja keras dan meneruskan perniagaan tersebut sebagai sumber rezeki mereka sekeluarga.

“Pada waktu itu, perniagaan kuih kapit saya baru sahaja hendak menembusi pasaran eksport ke China pada tahun 2020, namun semua impian tersebut tidak jadi kenyataan.

“Sebanyak 5,000 balang kuih kapit yang berada dalam kontena semuanya terpaksa dipulangkan semula akibat masalah penghantaran ke China,” katanya berkongsi kepada Aura.

Pun begitu, ibu kepada empat anak itu tidak sesekali pernah mengalah, selain menganggapnya sebagai ‘rencah’ dalam perniagaan.

“Dalam fasa saya ingin mengembangkan perniagaan, negara pula dilanda pandemik Covid-19.

“Pada masa itu, ekonomi masyarakat banyak terjejas termasuklah saya. Namun, untuk saya terus mengalah tidak sama sekali, asalkan perniagaan ini dapat diteruskan,” ujarnya yang mengusahakan perniagaannya di Pasir Penambang, Kuala Selangor.

SHAFINAZ AINAA (kiri) melayan pelanggannya.

Bercerita titik tolak mengenai perniagaan kuih kapit, Shafinaz Ainaa memaklumkan, ia tercetus selepas dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai penjawat awam.

“Saya mulanya berat hati untuk mengambil keputusan ini, tetapi waktu itu banyak perkara yang perlu diutamakan.

“Pada masa sama, saya juga tidak boleh duduk diam, sebaliknya sentiasa memikirkan cara untuk mencari punca rezeki lain,” katanya.

Tambah anak kelahiran Gombak itu, mulanya, dia hanya mengusahakan kuih kapit di rumah dengan menggunakan resipi ibu mentuanya.

“Lama-kelamaan perniagaan ini semakin berkembang maju dan kami membuka pusat jualan untuk membolehkan pelanggan melalui jalan lama singgah ke sini.

“Saya tidak menyangka perniagaan yang mulanya hanya kecil-kecilan dan dijual kepada penduduk setempat semakin berkembang serta mendapat permintaan ramai,” ujarnya.

Di sebalik menjalankan perniagaan secara terus kepada pelanggan dan menggunakan khidmat ejen, Shafinaz Ainaa turut menjadikan platform media sosial untuk meningkatkan jualannya.

Ketika ini, dia menggunakan khidmat pemasaran secara digital, sekali gus memudahkan lagi penyampaian maklumat dan pengiklanan produk.

“Kita tidak boleh sekadar menjual di pusat jualan sahaja, sebaliknya kena mempelbagaikan variasi termasuk kaedah jualan secara dalam talian,” ujarnya lagi.

Menurut Shafinaz Ainaa, pelanggan tidak lagi mencari kuih kapit pada musim perayaan, sebaliknya untuk kudapan harian serta sebarang majlis.

“Cara pembuatannya juga mudah kerana ia menggunakan tepung beras, santan dan gula, selain mampu bertahan hingga enam bulan,” katanya.

Katanya, produk kuih kapit keluaran syarikatnya turut mendapat pensijilan dan perakuan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), selain tampil dengan aneka perisa dan hiasan yang menepati selera kontemporari.

Sehingga kini, terdapat sebanyak 18 perisa kuih kapit dihasilkannya bagi memenuhi selera pelanggan.

“Kita mempunyai pelbagai perisa kuih kapit, antaranya durian, coklat kacang tabur, mentega kacang, ‘red velvet’ dan ‘roll matcha’,” tambahnya.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 100 balang kuih kapit dapat dihasilkan dalam sehari dan mampu meraih jualan sehingga RM20,000 sebulan.

Pembuatan kuih kapit beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Ketika ini, dia dibantu oleh empat pekerja, sekali gus membantu menambah pendapatan mereka yang tinggal berhampiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI