PETALING JAYA – Gara-gara membuat kejutan lamaran dalam rancangan siaran langsung Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) nama Kamal Adli trending dalam Twitter sejak malam tadi.
Kejutannya dengan membuat lamaran kepada untuk menjadikan Uqasha Senrose atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Senrose, 28, sebagai isterinya disifatkan sungguh mengejutkan banyak pihak.
Jika sebelum ini tiada sebarang kenyataan rasmi daripada mulut dua pelakon Perempuan Tanpa Dosa itu, namun segala persoalan kini terjawab.
Rata-rata warga maya melahirkan rasa teruja dan gembira selepas pasangan serasi dalam drama itu bakal disatukan sebagai suami dan isteri tidak lama lagi.
“Bertuah Uqasha dapat lelaki yang sangat gentleman sebab berani melamar depan orang ramai,” ciap seorang netizen.
“Akhirnya! Tahniah Uqasha dan Kamal. Semoga semua urusan dipermudahkan Allah SWT,” ujar seorang lagi netizen.
Dalam pada itu, meninjau ruangan komen Instagram Kamal dan Uqasha, rata-rata netizen meletakkan tanda pagar #Hairul Azreen dan #Hanis Zalikha pada komen masing-masing.
Netizen berpendapat Kamal mengikut jejak langkah Hairul yang pernah melamar Hanis pada konsert akhir Gegar Vaganza musim kedua pada 2015.
Sementara itu, menurut Ketua Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan & Drama Astro, Raqim Ahmad Ramli, kejutan lamaran tersebut sudah dirancang oleh Kamal tanpa pengetahuan Uqasha.
“Sebenarnya lamaran tersebut memang dirancang dan mereka sudah berbincang dengan kedua-dua belah keluarga.
“Jadi tiada istilah gimik murahan sebab memang hasrat itu diusulkan Kamal sendiri. Dia mahukan platform untuk berkongsi tentang hubungan mereka secara serius,” kata Raqim dalam sidang akhbar AME2020 malam tadi.
Terdahulu, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 36, dan Uqasha Senrose mula digosipkan bercinta sejak mereka digandingkan dalam drama Setelah Terlafaznya Akad arahan Michael Ang.
Gosip cinta mereka semakin bertiup kencang apabila kembali digandingkan sebagai teraju utama bagi drama Perempuan Tanpa Dosa yang berakhir siarannya pada bulan lalu.
Bagaimanapun, sehingga kini masih tiada sebarang kenyataan rasmi oleh kedua-dua belah pihak mengenai lamaran malam tadi. – K! ONLINE