PETALING JAYA – Polis sedang menyiasat video tular pemandu pacuan empat roda Toyota Hilux yang melanggar lampu isyarat sekitar Jalan Penchala, di sini, 14 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi 29 saat memaparkan kejadian di Facebook Sinar Lagenda pada pukul 9 pagi hari ini.
Katanya, daripada video rakaman papan pemuka (dashcam) kenderaan lain itu, pemandu Toyota Hilux telah mengabai isyarat lalu lintas di persimpangan berdekatan IPD Petaling Jaya.
“Siasatan awal mendapati pemandu tersebut telah melakukan kesalahan membelok di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Bagaimanapun, kejadian ini tidak menyebabkan kemalangan serta kecederaan kepada pemandu tersebut dan pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau juga memohon perakam insiden untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Petaling Jaya dan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339.
“Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.