PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menekan butang ‘restart’ menjelang perlumbaan terakhirnya pada Terbuka Kazakhstan bermula 23 Jun ini dalam usaha merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pelari berusia 20 tahun itu sebelum ini memohon maaf kerana masih belum berjaya mencatat masa memberangsangkan apabila merekodkan 10.43 saat (s) pada final 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Biarpun menamatkan saingan tempat pertama, catatan itu tidak melepasi hak kelayakan yang ditetapkan iaitu 10s untuk layak secara merit ke temasya sukan terbesar dunia bulan depan.
“Ini kali pertama saya membuat penampilan di Terbuka Kazakhstan dan tiada sebarang jangkaan kerana saya mahu pergi ke sana untuk buat yang terbaik.
“Saya akan pergi dengan jurulatih saya, Amir (Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah) kerana sebelum ini dia memantau sepanjang berada di Malaysia dan guna program sepenuhnya oleh jurulatih Ken Harden sendiri.
“Semua yang saya dah lakukan dan lalui di Malaysia lebih kurang hampir dua minggu ini, semuanya pemantauan jurulatih Harden dari jauh.
“Banyak perkara yang kami rasa sebenarnya sudah berada di sana, hanya masa yang akan menentukan. Jadi, saya hanya perlu tekan butang ‘restart’ dari fikiran saya.
“Bagi saya apa yang lepas biarlah berlalu. Buat masa ini saya nak fokus apa yang berada di hadapan terutama di Terbuka Kazakhstan dan melaksanaan perlumbaan tersebut dengan baik,” katanya.
Berdasarkan ranking Road to Paris, Azeem kini berada di kedudukan ke-67 dan hanya atlet berada dalam kedudukan 56 teratas akan layak membuat penampilan ke Paris.
Bagi meningkatkan rankingnya, Azeem perlu memenangi acara 100m Terbuka Kazakhstan di Almaty hujung minggu ini.