GERIK – Percubaan seorang lelaki menyeludup minyak petrol RON95 ke Thailand gagal apabila perbuatannya itu berjaya dihidu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di Kompleks Imigresen Bukit Berapit, Pengkalan Hulu semalam.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kira-kira pukul 4 petang semalam, sepasukan pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN Perak Cawangan Gerik mengesan sebuah kenderaan berpendaftaran tempatan jenis Proton Wira yang disyaki cuba menyeludup keluar minyak petrol RON95 ke Thailand.
Menurut beliau, dia cuba melakukan perbuatan tersebut dengan menggunakan kenderaan yang diubah suai tangki asalnya melalui Kompleks Imigresen Bukit Berapit, Pengkalan Hulu.
“Pemeriksaan lanjut yang dibuat ke atas kenderaan telah mendapati tangki bahan api kenderaan tersebut telah diubah suai menjadi lebih besar dari tangki asal dan kandungan bahan api petrol yang dibawa adalah penuh berpandukan sukatan pada kenderaan.
“Anggaran minyak yang terdapat di dalam tangki tersebut adalah 90 liter. Seorang lelaki warga Thailand berumur 50 tahun yang memandu kenderaan ini telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Pada masa sama, Kamaluddin berkata, semakan awal juga mendapati lelaki itu memiliki pas sempadan dan kad pengenalan warga Thailand.
“Sehubungan itu, kenderaan bersama dokumen pendaftaran kenderaan, peralatan motor pam beserta wayar penyambung bateri dan paip dan lain-lain telah disita untuk tindakan lanjut. Nilai sitaan adalah dianggarkan berjumlah RM3,184.50
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE