fbpx

Kerjasama Malaysia, China kukuhkan daya tahan rantaian bekalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul.

KUALA LUMPUR – Kerjasama ekonomi antara Malaysia dan China menyumbang kepada pengukuhkan daya tahan rantaian bekalan dan memacu perkembangan perdagangan dalam sektor perkhidmatan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerjasama itu juga bakal menarik pelaburan berkualiti tinggi disamping mengarusperdanakan pendigitalan, kemampanan dan inovasi, serta mengukuhkan pembangunan modal insan.

Ujarnya, dedikasi Malaysia dapat ditunjukkan dengan kerjasama ekonomi menerusi dokumen penting yang telah ditandatangani dan dimeterai bersama Menteri Perdagangan China, Wang Wentao sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri, China Li Qiang, semalam.

“Malaysia bangga menjadi salah satu rakan ekonomi terdekat China dan kami kekal komited untuk mengekalkan dan mengembangkan hubungan dua hala erat dalam tahun-tahun akan datang.

“Saya juga teruja untuk berkongsi bahawa Malaysia dan China sedang membincangkan kerjasama baharu yang menarik di bawah rangka kerja ‘Dua Negara, Taman Berkembar’.

“Kerjasama dalam pembuatan kenderaan elektrik juga akan diperkukuh supaya banyak peluang baharu dalam sektor utama ini dapat dibuka. Saya berharap dapat umumkan mengenai ini dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Tengah Hari Komuniti Perniagaan China dan Malaysia, di sini, hari ini.

Semalam, Malaysia dan China telah bersetuju untuk melaksanakan satu lagi kitaran program lima tahun untuk kerjasama ekonomi dan perdagangan yang ditubuhkan buat pertama kali pada tahun 2013.

Selain menandatangani dokumen Program Lima Tahun Malaysia-China untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan, dua Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai bagi meningkatkan pelaburan berkualiti tinggi dalam ekonomi digital dan hijau.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia memberi sokongan sepenuhnya terhadap China untuk membina Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang memangkin peningkatan kesalinghubungan dan kerjasama antarabangsa.

Katanya, inisiatif yang diperkukuhkan melalui hubungan China dengan ASEAN dapat memastikan keamanan, kestabilan, kerjasama dan kemakmuran rantau ini.

“Saya berterima kasih kepada komuniti perniagaan Malaysia dan Cina yang juga pemain utama dalam memacu hubungan ekonomi dua hala kita ke hadapan.

“Dengan muhibah berterusan, kerja keras dan persefahaman bersama, saya yakin perkongsian ini akan terus berkembang, membawa kemakmuran yang lebih besar kepada kedua-dua negara kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI